Pelakon dan pengacara, Mira Filzah menafikan khabar angin yang mengatakan dia dan pelawak Zizan Razak bakal mengakhiri zaman bujang.

Namun Mira Filzah atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 25, berkata mereka kini masih lagi selesa berkawan.

“Memang ada yang bertanya adakah benar saya akan menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.

“Setakat ini belum ada perancangan untuk berkahwin atau apa kerana tahun ni sahaja jadual kerja saya terlalu padat.

“Saya masih berkawan dengan Zizan dan belum ada perancangan untuk ke langkah seterusnya,” katanya kepada Gempak.

Mira ditemui ketika majlis sidang media Salam Taiwan di Mid Valley pada Rabu.

Sementara itu, apabila ditanya apakah yang membuatkannya selesa menjalinkan hubungan dengan Zizan, Mira mendedahkan pelawak tersebut mempunyai sikap yang disenangi.

“Saya selesa dengan Zizan kerana dia seorang yang tulus dan ikhlas.

“Di luar mungkin orang nampak dia suka melawak tapi kadang-kadang boleh dikatakan dia seorang yang agak serius,” katanya lagi.

Mira kini berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kedah bagi penggambaran drama bersiri Lelaki Kiriman Tuhan di samping mengikat kontrak sebagai duta pelancongan tersebut untuk tempoh setahun.