Wanita yang mendapat gelaran Gadis Jeng Jeng Jeng, Nurul Syuhada Mohamad A'zi, 25, tidak berkecil hati selepas gaya persembahan uniknya hangat diperkatakan netizen di laman sosial.

Aksi Syuhada bersama tiga orang rakan iaitu Iellyas Fietrie, Fathi Radzi dan Raihan MJ mempromosikan persembahan teater lakonan mereka, Kembang Layarku dalam sebuah program televisyen menjadi bahan gurauan netizen selepas ia viral.

"Pelik juga mengapa baru sekarang video itu menjadi bualan, sedangkan persembahan teater itu sudah tamat. Biasalah apabila tular, ramai yang memberikan pelbagai pendapat, termasuk komen negatif.

“Saya hanya ambil pendekatan positif dan komen buruk saya tidak baca. Saya tahu ada yang mencemuh dan menganggap persembahan itu mengarut, mungkin tidak faham kerana mereka tidak menonton keseluruhan pementasan,” katanya.


Bersikap optimis, Syuhada tidak menjangkakan rakaman tersebut mendapat lebih sejuta perkongsian sedangkan persembahan teater tersebut sudah berjalan pada bulan lepas.

"Ia adalah teater pertama lakonan saya dan saya mahu terus mencari peluang dalam bidang seni kerana minat yang mendalam. Saya harap, isu yang tular ini menjadi ‘salam perkenalan’ untuk saya memulakan langkah sebagai pelakon.

"Terima kasih kepada Fauziah Nawi yang mengasah bakat saya menerusi produksi terbitan Sanggar Teater Fauziah Nawi atau Stefani," katanya.

Sumber: BH Online