Pelakon Fauziah Nawi tidak kisah apabila anak didikannya yang juga pemain teater Kembang Layarku yang membuat persembahan di acara Selamat Pagi Malaysia, tular dan menjadi bahan ketawa netizen.

Menurut Fauziah Nawi, 65,yang merupakan pengasas Sanggar Teater itu berkata ramai tidak faham apa yang cuba disampaikan.

“Saya tak kisah orang nak cakap apa pun. Mungkin ramai yang tidak faham kisah yang cuba disampaikan menerusi teater itu.

“Kalau mereka nak kecam dan cakap yang bukan-bukan, saya tak kisah,” katanya.

Kata Fauziah, jika penonton faham banyak emosi yang dimainkan di dalam teater tersebut.

“Mereka rasa itu jenaka, tapi sebenarnya banyak emosi dipertontonkan. Itu cuma sebahagian saja. Kalau mereka tonton pementasan penuh, mesti mereka faham,” katanya.

Potongan video daripada persembahan itu mula tular dan menjadi perbualan ramai sejak semalam kerana gaya tarian wanita tersebut dianggap pelik dan lucu oleh netizen.

Sumber: Harian Metro