Artis popular seperti Kaka Azraff, Aziz Harun dan Andi Bernadee merupakan antara penyanyi yang bakal memeriahkan Jimba Fest Tour.

Selain mereka bertiga, Amir Hasan, Awi Rafael, Wan Shahjuddin, Nora Ariffin, Datin Alyah, Altimet dan Aizat Amdan akan turut memeriahkan siri jelajah in di lokasi tertentu.

Warner Music Malaysia (WMM) dengan kerjasama Digi telah melancarkan siri jelajah Jimba Fest Tour yang bakal berlangsung di enam lokasi terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia bermula September hingga November tahun ini.


Jimba Fest Tour merupakan penjenamaan semula kepada siri jelajah kampus 'IPT Tour' yang dijayakan oleh WMM sejak enam tahun yang lalu.

Siri jelajah ini merupakan satu platform yang digunakan WMM untuk mendekatkan artis-artis dibawah naungan mereka kepada peminat generasi muda.

Sebagai permulaan, siri jelajah Jimba Fest Tour akan bermula di MesaMall, Nilai, Negeri Sembilan pada 16 September ini dan akan diikuti Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM).