Pelakon Raja Ilya menegaskan pendedahan hubungan cintanya dengan jejaka kelahiran Perth, Australia bukan satu gimik.

Malah, mereka serius dan telah mula membuat persiapan menjelang hari bahagia yang dijangka berlangsung pada November tahun depan.

"Tak! Tak! Ini bukan gimik. Sebab benda baik tak payah nak tipu-tipu.

"Saya pun rasa tak perlu nak buktikan apa-apa sampai perlu letak gambar di media sosial. Pendirian kami sama, dia pun tidak pernah mendedahkan identiti saya sepanjang perkenalan enam tahun.

"Ada sesetengah orang akan mendoakan untuk kebaikan kita, ada juga yang akan caci-maki. Jadi, lebih baik kami menjaga hubungan ini baik-baik.

"Perancangan kami, apabila sudah berkahwin nanti barulah kami akan dedahkan foto masing-masing. Selagi belum sah, kami akan simpan. Yang penting bukan gimik!" katanya kepada Gempak.

Ilya ditemui pada majlis tayangan perdana filem Munafik 2 di e@Curve, Damansara semalam.

Sebelum ini, Ilya mendedahkan dia bakal menamatkan zaman bujangnya dengan jejaka yang diperkenalkan sebagai TWG pada November 2019.

Berkenalan sejak enam tahun lalu, Ilya dan TWG mulai serius beberapa bulan lalu dan dilamar menerusi sepotong puisi.