Penyanyi nasyid, Fitri Haris tampil memberi penjelasan dia sudah bertunang seperti mana disangka ramai peminatnya menerusi status di akaun Instagramnya baru-baru ini.

Jelasnya, dia berasa bersalah apabila membuatkan ramai peminat dan netizen di media sosial salah faham.

“Masa status itu mendapat banyak ‘like’ dan peminat mengucapkan tahniah saya cuma bersabar. Sebenarnya, ia adalah majlis sepupu saya dan saya tiada niat nak buat gimik sekadar nak menyakatnya,” katanya kepada Astro Gempak.

Fitri yang ditemui pada Majlis Pelancaran Single dan Muzik Video ‘Wahai Kekasihku’ di Petaling Jaya, Selangor hari ini beranggapan mungkin peminat melihatnya kesunyian hidup solo tapi mengakui masih belum di tahap tertekan untuk mencari jodoh.

“Memang saya tak boleh nak fokus soal mencari jodoh sebab nak siapkan PhD. Saya anggap jodoh benda yang magik asalkan dia adalah perempuan asli.

“Sebelum ini, ada ibu bapa perempuan datang masuk minang tapi saya bagi alasan nak fokus PhD. Soal jodoh ini sebenarnya terlalu peribadi untuk diceritakan tapi buat masa ini PhD mengatasi segalanya,” katanya.

Ujarnya, dia serik untuk bercinta kerana takut tak boleh membahagiakan orang lain. Namun, dia sedia berkongsi berita gembira dengan peminat sekiranya bertemu jodoh.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak