web www.bigstage.com.myPenyanyi Sissy Imann, 22, menjadi peserta ketiga yang tersingkir di konsert Big Stage malam tadi.

Menurut Sissy yang telah menyanyikan lagu Senggol Senggolan Cubit Cubitan nyanyian asal Mas Idayu, dia menghormati tema pada minggu ini iaitu Tapi Bukan Aku.

"Minggu ini saya hormat dengan tema dan genre lagu tersebut.

"Bagi saya, kalau tukar genre atau lenggok lagu itu yang sepatutnya jadi dangdut kepada cara saya, itu seperti tidak menghormati genre dangdut itu sendiri.

"Saya merasakan jika tukar susunan mengikut kesesuaian diri saya, ia tidak lagi mengikut tema Tapi Bukan Aku," katanya.

Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil berkata, dia tidak ralat dengan keputusannya yang tidak menukar susunan lagu kepada caranya.

"Saya tidak berasa ralat kerana ini merupakan keputusan saya sendiri.

"Cuma apabila sudah sampai ke minggu keempat, saya sudah ada perancangan untuk minggu-minggu yang akan datang.

"Ini yang membuatkan saya berasa ralat kerana platform Big Stage ini besar, jadi saya sepatutnya menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

"Saya telah membuat percaturan pada malam ini tetapi kurang bernasib baik. Saya terima rezeki hanya setakat ini sahaja," katanya kepada Gempak.

Sissy ditemui usai program realiti Big Stage di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pada konsert minggu keempat ini, juri tetap Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir telah menggunakan imuniti untuk menyelamatkan peserta daripada tersingkir.

Faizal Tahir telah memilih Ariff Bahran untuk diselamatkan kerana markahnya lebih tinggi berbanding Tajul dan Sissy Imann.

Jangan lepaskan peluang untuk terus menyaksikan pertarungan 7 bintang muda dalam rancangan realiti baharu Big Stage.

Big Stage disertai oleh Sarah Suhairi, Ariff Bahran, Afieq Shazwan, Tajul, Syafiq Farhain, Baby Shima dan Wani Kayrie.

Rancangan yang ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh Tiktok ini akan disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Big Stage turut boleh dinikmati melalui platform digital, ASTRO GO dan 'on demand'.

Layari laman web www.bigstage.com.my untuk segala informasi mengenai program ini!