Pelakon Siti Elizad mengakui dirinya mudah untuk membuatkan orang menangis daripada membuatkan penonton ketawa dalam program Super Spontan Xtravaganza (SSX).

Menurut Elizad, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk menimba ilmu dalam bidang komedi bersama barisan pelawak tanah air.

"Saya bersyukur kerana dapat bertahan sampai minggu keenam kerana pada awalnya saya jangka akan keluar pada minggu ketiga sahaja.

"Saya memang nak sangat mencuba dalam bidang komedi ini kerana bagi saya ia bukan sesuatu yang mudah.

"Sejujurnya kalau nak buat orang menangis lagi senang tapi untuk buat kelakar sebenarnya amat susah.

"Mungkin itu merupakan bidang dan kerjaya sebagai pelakon untuk menghidupkan watak yang diberikan," katanya kepada Gempak.

Minggu keenam SSX menyaksikan Elizad diumumkan sebagai peserta daripada kumpulan Sotong Kangkung yang disingkirkan.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan ‘tukang masak’, SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej ‘tukang masak jalanan’ dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej ‘tukang masak di hotel’.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan diniali oleh dua jri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri jemputan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.