Rindu dengan watak Bella dalam drama bersiri Dia Semanis Honey, peminat mahu Nadya Syahera memakai gincu berwarna merah yang merupakan treadmark watak tersebut.

“Sampai sekarang saya masih lagi rasa tak percaya yang watak Bella mampu memberikan impak yang begitu kuat kepada penonton.

“Memandangkan gincu merah itu merupakan treadmark Bella dalam drama tersebut, jadi peminat meminta saya untuk memakai warna yang sama di pagi Syawal nanti.

“Mereka kata rindu nak tengok Bella pakai gincu merah menyala, saya pun terharu juga sebenarnya kerana watak tersebut saya semakin dikenali.

“Tapi bab pakai gincu merah di pagi Raya itu nanti saya pertimbangkan, karang orang kata saya terlebih melaram pula,” ujarnya ketawa.

Mengulas mengenai Raya, pelakon berusia 23 tahun memberitahu tahun ini dia menyambut Aidilfitri secara bersederhana dan hanya memilih busana yang ringkas dan tidak terlalu menonjol.

“Raya tahun ini saya tak mahu beria sangat cukuplah secara sederhana. Baju Raya pun tak banyak, saya hanya pilih yang biasa-biasa saja.

“Saya beraya di Kedah dan akan berada di sana selama lima hari, seronok bila balik Raya sebab kita dapat berkumpul dengan sanak saudara dan yang pasti rumah pasti meriah.

“Tentang rumah terbuka, saya memang ada perancangan nak buat tapi itu dekat KL dan mungkin selepas Raya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nadya bakal muncul menerusi Dia Semanis Honey Raya yang akan ditayangkan mulai 6 Syawal hingga 11 Syawal, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).