Setelah 13 tahun filem dan siri Gol & Gincu dilancarkan, kini ia muncul kembali dengan barisan pelakon serta kisah baru yang telah ditamatkan.

Penerbit Red Films, Lina Tan berkata Gol & Gincu Vol. 2 (GG2) bukan sambungan atau sekuel daripada filemnya sebelum ini tetapi ia merupakan filem baru yang masih mengekalkan konsep yang sama.

“Kami mengambil masa untuk membuat keputusan menerbitkan semula jenama ini tetapi saya rasa inilah masa yang tepat kerana saya benar-benar mahu menghasilkan semula filem tempatan dengan watak utama wanita yang kuat dilihat kurang diterbitkan sejak akhir-akhir ini.

“Saya mahu tegaskan disini, GG2 bukan sekuel kepada filem sebelum ini tetapi ia merupakan filem yang telah kami ‘reboot’.

“GG2 akan memaparkan semula kisah pelajar-pelajar university yang terlalu mementingkan diri sendiri dan dunia mereka sahaja.

“Bagaimanapun, cerita kali ini sedikit berbeza dan menampilkan isu semasa yang melibatkan penggunaan media sosial yang serius di kalangan generasi muda masa kini,” katanya kepada Gempak.

Lina ditemui ketika majlis pelancaran Gol & Gincu Vol. 2 di Pizza Hut, Empire City Mall, Petaling Jaya, pada Isnin.

Filem arahan sulung Umi Salwana Omar itu dibarisi pelakon utamanya Diana Danielle dan Ummi Nazeera serta dua pelakon asalnya Sharifah Amani dan Sazzy Falak.

Ia juga turut dibintangi oleh Syafiq Kyle dan Aedy Ashraf serta wajah baru seperti Jad Hidhir, Intan Serah, Tiara Anchant, Nik Nasuhan, Annabel Michael, Grace Ng dan Iezahdiyana Alaudin.

Astro Gempak akan menjadi hos kepada laman web rasmi GG2 di mana penonton yang belum berpeluang menonton filem asal yang dihasilkan pada tahun 2005 dapat menyaksikan dan mengetahui lebih lanjut mengenai barisan pelakon, kisah di sebalik tabir dan pelbagai promosi hebat GG2.

GG2 mengisahkan tentang Zak (Diana Danielle) dan Yaya (Ummi Nazeera) pelajar yang memiliki nama asal yang sama iaitu Zakiah tetapi personaliti yang jauh berbeza.

Akibat tercetusnya pergaduhan mereka di khalayak ramai sehingga tular di media sosial, mereka elah dikenakan tindakan disipilin untuk melakukan kerja amal.

Zak dan Yaya memilih untuk melakukan kerja amal di rumah remaja bermasalah yang dikenadlikan oleh Jijie (Sharifah Amani). Pelbagai konflik berlaku ketika mereka cuba membantu Jijie dan gadis-gadis tersebut.

Karya terbitan Red Films itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 Oktober ini.