Penyanyi kelahiran Indonesia, Dea Dalila mengakui selesa berkawan dengan aktor Alvin Chong walaupun pada awalnya mereka hanya berkenalan menerusi media sosial.

Menurut Dea, perwatakan yang ada pada Alvin memudahkan mereka untuk mencari keserasian dalam single terbaharu iaitu Mencintaimu 99%.

"Pada awalnya perkenalan kami hanya menerusi alam maya dan kami tidak pernah berjumpa.

"Saya hanya mengenali personaliti diri Alvin hanya menerusi gambar-gambar di Instagram sahaja.

"Ternyata persahabatan yang terjalin di media sosial itu memudahkan kami untuk mencari keserasian bersama dalam bekerjasama untuk single terbaharu ini.

"Ternyata sikap Alvin yang lucu itu membuatkan saya sangat selesa ketika pertama kali bertemu untuk merakamkan single kami di Indonesia," katanya kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain, Alvin dan Dea menjelaskan mereka kini terlibat dalam kempen kesedaran anjuran Arthritis Foundation Malaysia bagi para pesakit Ankylosing Spondylitis (AS) di negara ini.

“Penyakit ini biasanya menyerang golongan muda pada bahagian belakang badan. Ia melibatkan penyakit pada tulang belakang.

"Tapi sehingga kini masih ramai yang tidak tahu tentang AS sehinggalah ia didiagnos oleh pakar.

"Saya berharap dengan kempen ini dapat memberi kesedaran pada orang ramai tentang AS ini," ujarnya.