Penggiat seni tempatan terkejut apabila mendapat tahu beberapa ahli sebuah persatuan hiburan didakwa mendapat pengiktirafan peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dari sebuah universiti tempatan.

Dalam satu status yang di kongsi pensyarah sambilan filem dan penyiaran berpengalaman yang juga fasilitator bengkel latihan berkaitan industri kreatif, Zaki Abdul Rahim di Facebook semalam menarik perhatian ramai penggiat seni berkongsi pandangan mereka terhadap isu tersebut.

Pengarah drama terkenal, Murali Abdullah mempersoal bagaimana pihak universiti berkenaan memberi sijil kepada ahli persatuan Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG) yang tidak layak langsung dipanggil cendekiawan.

"VC OUM tak pantau je gejala penipuan industri kreatif ini? Kesihan rosak nama OUM," katanya.

Zaki turut menjawab komen Murali itu dengan menyatakan faktor kredibiliti dan kualiti penganugerahan sijil pada individu tertentu perlu diperhalusi.

"Hanya OUM dan CCIG yang lebih mengetahui atau mungkin lebih memahami setiap langkah yang di ambil. Institusi pengajian tinggi kot. Cuma kita risau kredibiliti dan kualiti penganugerahan sijil pada beberapa individu tertentu yang kita kenal sangat mereka.

"Lebih bimbang lagi jika OUM diberi persepsi salah tentang keperluan dan kemahuan penggiat. Kononnya CCIG lah tonggak utama yang mencorak masa depan industri," katanya.

Zaki menambah, CCIG kena mendaftarkan semua kelompok penggiat seni bukan sahaja artis dan karyawan filem atau TV tetapi pemuzik, penari, pelukis, penulis, kaligrafi, pembuat tenun sampin, pesilat mahupun anggota tarian naga.

Adik kepada pelakon popular, Farid Kamil iaitu Fadzil Zahari juga berkongsi pengalamannya ketika diberi pengiktirafan CCIG sebagai 'intermediate' meskipun sudah menghasilkan lebih 12 skrip filem manakala 7 daripada filem tersebut mencatat kutipan pecah panggung.

"Jadi dengan automatiknya Kad CCIG saya sebagai penulis skrip telah di iktiraf sebagai INTERMEDIATE.. sejak dari hari keramat tersebut, saya tidak lagi bayar yuran CCIG itu dan mereka sering menelefon, menghantar SMS dan email minta buat pembayaran & hadir mesyuarat," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook - CCIG - Creative Content Industry Guild