Filem pecah panggung Hantu Kak Limah bukan sahaja menghiburkan malah mampu menjentik hati hingga terasa sebaknya.

Kisah yang berlaku kepada seorang pengguna Twitter, @mosyukiborhan yang diajak adiknya, seorang kelainan upaya Sindrom Down untuk menonton Hantu Kak Limah membuatkan netizen tersentuh.

"Saufi; adik aku down syndrome. Dia hantar voice note (guna phone akak dia) ajak aku tengok ‘Hantu Kak Limah’ esok.

"Aku reply text, tak sempat nak reply voice (dengan harapan akak dia jawabkan).

"Saufi reply text. Aku nangis. Dia berusaha nak reply walaupun tak tahu baca," tulisnya menerusi entri di Twitter.

Pengguna itu turut berkongsi paparan skrin dan kiriman suara yang dihantar oleh adiknya menerusi Whatsapp.

Usaha dan kemuliaan hati untuk menggembirakan anak syurga itu mendapat pujian daripada netizen.

Malah, ada antara pengguna yang berkongsi kisah masing-masing memiliki ahli keluarga yang senasib.

Hantu Kak Limah telah mencatatkan kejayaan luar biasa dengan kutipan melebihi RM13 juta sejak ditayangkan Khamis minggu lalu.

Filem ini merupakan francais keempat kisah Kampung Pisang, bermula dengan Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Hantu Kak Limah menampilkan barisan pelakon popular antaranya Datuk Awie, Delimawati, TJ Isa, Sharwani, Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Uqasha Senrose, Mus May, Erra Fazira, Jue Aziz, Sabri Yunus, Pekin Ibrahim dan Datuk Seri Vida.

Sumber: Twitter