Pelakon Nelydia Senrose menceritakan pengalamannya berenang di tengah laut ketika menjalani penggambaran drama bersiri Cinta Tiada Ganti.

Menurut Nelydia, itu merupakan pengalaman paling menakutkan yang pernah dialaminya sepanjang bergelar pelakon.

"Saya dan Aedy Ashraf terpaksa berenang di tengah laut di Melaka di mana kawasan tersebut menjadi laluan kepada feri.

"Bagi saya, detik itu merupakan pengalaman paling menyeramkan kerana saya tidak nampak hidupan yang berada di dalam air.

"Pasukan penyelamat berada jauh dari kami, jika sesuatu terjadi, takut mereka tak sempat mereka menyelamatkan kami berdua," katanya.

Tambah Nelydia, Aedy banyak menenangkan dirinya supaya tidak berfikiran negatif ketika penggambaran itu dijalankan.

"Ketika itu saya sedar betapa pentingnya sokongan seorang pelakon lelaki untuk membantu pelakon wanitanya supaya kelihatan tenang.

"Saya dan Aedy saling bergantung antara satu sama lain kerana hanya kami berdua berada di tengah laut ketika itu," katanya kepada Gempak.

Tambah Nelydia, dia masih menjalani penggambaran drama bersiri Cinta Tiada Ganti yang tengah bersiaran di Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135).

Cinta Tiada Ganti merupakan adaptasi dari drama popular Filipina bertajuk Sana'y Wala Nang Wakas.

Drama bersiri Cinta Tiada Ganti bersiaran di Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 6:00 petang.

Menerusi drama Cinta Tiada Ganti arahan Feroz Kadir itu, Nely memegang watak utama sebagai Arabella bersama pelakon gandingannya, Aedy Ashraf.

Selain Nely, pelakon lain yang turut menjayakan drama tersebut adalah Hafidz Roshdi, Ben Amir, Sweet Qismina, Wan Sharmila, Octovia Manrose, Dian P Ramlee dan ramai lagi.