Peserta Super Spontan Xtravanganza (SSX) Nizam Jentik-Jentik mengakui tidak kisah di kritik oleh orang ramai apabila dikatakan terlalu mencuba menjadi yang terbaik dalam SSX.

Menurut Nizam, sebagai seorang pelawak baru dalam industri tidak salah jika dia terlalu mencuba melakukan yang terbaik dalam setiap permainan.

"Sebenarnya bagi saya itu merupakan sesuatu yang positif kerana sebagai peserta baru tidak salah untuk saya terlalu mencuba untuk jadi yang terbaik.

"Nampaknya usaha yang saya lakukan ini diperhatikan oleh orang ramai walaupun saya masih perlu banyak belajar.

"Saya harus berusaha lebih keras untuk menjadi setanding dengan pelawak-pelawak otai.

"sekurang-kurangnya saya mencuba buat yang terbaik dan menggunakan peluang diberikan ini sepenuhnya," katanya kepada AStro Gempak.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan 'tukang masak', SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej 'tukang masak jalanan' dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej 'tukang masak di hotel'.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri tempatan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi