Filem paling popular ditayangkan di pawagam ketika ini, Hantu Kak Limah (HKL) arahan Mamat Khalid terus menjadi bualan ramai apatah lagi menimbulkan rasa teruja membuak pada mereka yang belum menonton.

Daripada trailer, penonton dapat membayangkan beberapa babak menarik dalam sekuel ketiga kali ini seperti watak Nayan lakonan Ropie Cecupak dan penampilan sulung, Zul Ariffin dan suara Erra Fazira bercanda dengan Datuk Awie sebagai Husin.

Bagi mereka yang sudah menonton, pembukaan filem ini menampilkan rakan pada empat watak utama iaitu Khuda yang baru saja berkahwin dengan Kak Limah.



Secara ringkas, elemen seram bermula apabila Kak Limah meninggal dunia dan jelmaan HKL heboh diperkatakan selepas mula menghantui penduduk kampung.

Ketepikan soal teknikal tapi apa babak yang buatkan penonton ketawa besar? watak Nayan sejak mula terkejut melihat mayat Kak Limah dengan dialog 'I'm speechless' sehingga dia ditugaskan menjaga mayat itu seorang diri paling mencuit hati.

Dialog bersahaja Husin dengan Wani ketika menjamah bubur keladi dalam rumah HKL juga menjadi sehingga babak tonggeng dilakukan Yeh Sekupang lakonan Allahyarham Rab Khalid membuatkan penonton ketawa.



Memang dalam sekuel kali ini, watak Yeh memainkan peranan penting kerana dia memberi pengaruh kuat pada jalan cerita.

Yeh yang sering muncul dengan gaya rokok di mulut cukup serius bila berdialog. Malah, dialog ketika dia 'stim' melihat mayat Kak Limah termasuk Datuk Seri Vida menambah elemen komedi dalam filem ini.

Begitu juga, aksi HKL kali ini lebih dahsyat bila dia banyak kali terbang termasuk handal berlawan dengan Solihin (Zul).



Kehebatan HKL kali ini tidak lagi hanya bergantung pada 'punchline' lagu enjit-enjit semut untuk menakutkan penduduk Kampung Pisang tapi kemunculannya bersama efek skor muzik dan pencahayaan cukup mengerunkan terutama ketika babak tonggeng tadi.

Plot filem ini lebih 'straight forward' iaitu selepas Kak Limah dikebumikan, penduduk kampung mula memikirkan bagaimana cara untuk menghalang HKL daripada terus meracau.

Sama ada HKL berjaya 'dihapuskan' atau apa kaitannya dengan munculnya Uqasha Senrose sebagai Puteri Bunian merungkai segalanya.



Bagi pembikin filem Melayu mahupun penonton tempatan pastinya tumpang bangga atas kejayaan awal filem terbitan Astro Shaw bersama Infinitus ini yang mencatat RM1.8 juta pada hari pembukaan sebelum pecah rekod, RM9 juta hanya dalam tempoh 4 hari tayangan.

Di sebalik pencapaian memberangsangkan, ada yang beranggapan pengarah lain juga mampu hasilkan filem komedi seram sebegini.

Tapi harus ingat, jika naskah filem ini bukan hasil tangan Mamat pastinya ia kurang menyengat kerana Mamat dengan HKL seperti 'laki bini' yang penuh dengan sifat kasih sayang. Syabas Mamat terutamanya Delimawati!

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Shaw