Pelakon Nelydia Senrose mengakui dia senang bekerjasama dengan Aedy Ashraf di dalam drama bersiri Cinta Tiada Ganti.

Menurut Nely, dia dan Aedy sudah banyak kali berlakon bersama-sama sebelum ini.

"Saya dengan Aedy membesar bersama-sama dalam industri seni ini. Perbezaan umur kami berdua hanya setahun saja.

"Sebelum ini, Aedy pernah memegang watak sebagai teman lelaki saya, sepupu saya dan adik saya.

"Saya berasa seronok kerana dapat bekerjasama dan bergandingan dengan kawan baik sendiri," katanya.

Tambah Nely, untuk lakonan sebelum ini, Nely banyak digandingkan dengan pelakon yang lebih berusia dan nampak matang.

"Jadi menerusi drama bersiri Cinta Tiada Ganti ini, penonton akan nampak kelainan apabila Aedy yang memegang watak utama," katanya kepada Gempak.

Menurut Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, ia juga baik untuk publisiti apabila penonton mempersoalkan tentang pemilihan watak utama dan kemampuan mereka berdua dalam menjayakan drama ini.

Cinta Tiada Ganti merupakan adaptasi dari drama popular Filipina bertajuk Sana'y Wala Nang Wakas.

Drama bersiri Cinta Tiada Ganti bersiaran di Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 6:00 petang.

Menerusi drama Cinta Tiada Ganti arahan Feroz Kadir itu, Nely memegang watak utama sebagai Arabella bersama Aedy yang memegang watak sebagai Mukhriz.

Selain Nely, pelakon lain yang turut menjayakan drama tersebut adalah Hafidz Roshdi, Ben Amir, Sweet Qismina, Wan Sharmila, Octovia Manrose, Dian P Ramlee dan ramai lagi.


Teks: Noor Zulaikha Yusof