Pelakon Ozlynn tidak menghiraukan kata-kata netizen yang mengecam serta mempertikaikan dirinya kerana didakwa tidak berpantang selepas bersalin anak kelima, Nur Latifah Moleiq Hanania baru-baru ini.

Ozlynn berkata, terpulang kepada orang luar untuk menilai dirinya, namun dia menegaskan dia masih menjaga pantang selama 44 hari.

“Saya tahu bila saya muat naik foto keluar rumah ketika tempoh berpantang itu ramai yang mempertikaikan malah ada yang mengambil berat.

“Namun saya hendak menegaskan disini saya masih menjaga pantang. Tak semestinya keluar rumah, saya tak jaga pantang. Saya tahu apa yang saya lakukan.

“Saya masih berstokin walaupun keluar rumah malah saya tetap menjaga pemakanan saya.

“Menjaga makanan itu penting kerana kita perlu tenaga selepas bersalin untuk menyusu dan menjaga anak kita,”katanya kepada Gempak.

Isteri kepada pelawak Johan Raja Lawak itu melahirkan Moleiq pada 17 Jun lalu.

Sementara itu, Ozlynn memberitahu dia kini masih memberikan tumpuan sepenuh masa kepada bayinya yang masih menyusu badan.

“Setakat ini, saya masih menyusu penuh anak saya dan belum campur dengan mana-mana susu formula.

“Kalau boleh saya mahu menyusukannya sehingga 2 tahun sama dengan anak-anak yang lain,” katanya lagi.

Johan dan Ozlynn berkahwin pada 25 Julai 2009 dan turut dikurniakan empat orang cahaya mata lain iaitu Ariq, Sodiq, Haziq dan Cantiq.

Teks: Syafiqah Jalal