Penyanyi popular, Mawi terus mencipta fenomena baru buat peminatnya apabila bakal muncul dengan program secara langsung jenama sendiri iaitu Planet Mawi.

Jelasnya, impian untuk mewujudkan program sendiri secara live sudah lama dirancang sejak 5 tahun lalu.

“Memang sasaran pada asalnya mahu Planet Mawi dijadikan program TV tapi biasalah mereka mahukan penaja tetapi penaja pula susah nak dapat sebab mereka tunggu ‘pilot’ program ini disiarkan terlebih dahulu,” katanya kepada Astro Gempak.



Ujarnya, dalam program bersiaran 45 minit ini membincangkan pelbagai perkara viral dan pada masa sama memastikan kandungan program ini tiada di tempat lain.

“Sebenarnya, mesej program ini ke arah positif, bukan serius tapi santai dan ada perkara bermanfaat yang ingin dikongsi bersama penonton,” katanya.



Akuinya, media sosial seperti Facebook paling mendapat perhatian ramai penonton kerana ia boleh ditonton dari seluruh dunia.

“Bagi saya tidak salah nak mencuba. Niat utama program ini adalah mahu berkongsi apa yang kami ada tapi ia bukan program mendidik sebaliknya penonton terdidik secara automatik.

“Dulu saya biasa jadi hos majlis kenduri kahwin dan pernah berangan-angan mahu membuat program TV sendiri.

“Sudah lama juga jiwa ini ‘memberontak’ kerana saya mahu mencari kepuasan menerbitkan program sendiri sehingga muncul Planet Mawi,” katanya.



Program Planet Mawi ini turut disertai rakan penyampai Zayan, Anas Tahir bersama pemuzik, Oja Tunable Band dan tetamu pertama minggu ini iaitu Johan As'ari.

Program julung kali ini diterbitkan Mawi World Entertainment dengan kerjasama Teddy Rox FIlm bersiaran dari Ladiesfoto Studio, Petaling Jaya, Selangor.

Ia akan disiarkan menerusi Facebook Live, Planet Mawi setiap Jumaat bermula esok (10 Ogos) jam 9.33 malam.



Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak