Pelakon Uqasha Senrose mendedahkan dirinya hampir terlepas peluang membintangi naskah Hantu Kak Limah arahan sutradara Mamat Khalid.

"Rupanya, sudah dua bulan penerbit eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-Lin Pllai cuba menghubungi saya. Menurut Gayatri, dia mencuba untuk menghubungi saya dan meninggalkan pesanan kepada pengurus saya.

"Namun begitu, pengurus tidak menerima apa-apa pesanan. Akhirnya, saya membaca Direct Message (DM) di laman Instagram dan ternampak mesej Gayatri.

"Kata Gayatri, sudah lama dia mencari saya untuk menawarkan watak Eton sebagai gadis bunian dalam filem ini. Saya hampir terlepas peluang kerana pihak produksi mahu melepaskan watak tersebut kepada orang lain.

"Nasib baik saya membaca DM dan menerima tawaran tersebut dengan berbesar hati. Sudah menjadi impian saya untuk bekerjasama dengan pengarah profilik seperti Mamat Khalid," kata Uqasha.

Menerusi filem terbitan bersama Astro Shaw dan Infinitus Gold ini, Uqasha bergandigan dengan Datuk Awie.

"Pada awalnya, saya akui saya sangat gementar untuk bergandigan dengan Awie kerana dia merupakan seorang pelakon otai.

"Saya membesar menonton filem lakonan Awie. Apabila melangkah ke set penggambaran, perasaan itu hilang kerana Awie sangat profesional.

"Sebagai pelakon senior, dia banyak membantu dan saya juga senang bekerjasama dengan semua krew produksi Hantu Kak Limah," katanya lagi.

Hantu Kak Limah yang turut menampilkan Delimawati, Zul Ariffin, Sabri Yunus dan ramai lagi ini akan menemui penonton pada 9 Ogos ini!

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Uqasha