Ujibakat AF2016 baru saja melabuhkan tirainya pada Ahad lalu dengan menyaksikan lebih 5,000 peserta hadir untuk mencuba nasib.

Memandangkan ujibakat kali ini dijalankan pada bulan Syawal, beberapa peserta telah hadir dengan memakai baju melayu dan kurung untuk mengekalkan ‘mood’ Raya.

Menurut juri ujibakat AF2016, Edry Abd Halim, dia sememangnya tidak menjangkakan ada peserta yang hadir dengan memakai baju Raya.

“Peserta tahun ini saya lihat kebanyakannya sangat unik dan macam-macam ragam.

“Tapi yang paling saya tak sangka bila ada peserta yang hadir lengkap berbaju Melayu siap dengan sampin sekali.

“Saya akui itu merupakan salah satu taktik mereka untuk tarik perhatian juri, tapi kita tengok jugalah yang mana bagus memang akan lepas ke ‘stage’ seterusnya.

“Tapi dari segi pakaian saya suka kerana mereka nampak kemas dan bersedia, jadi persepsi utama juri terhadap mereka itu bagus,” katanya.

Dalam pada itu, mengimbas kembali tentang perjalanan ujibakat AF2016, kesemua peserta perlu mengharungi empat peringkat dan berhadapan dengan juri-juri yang tegas.

Tidak hanya nyanyian malah personaliti, tarian dan lakonan juga turut diambil kira oleh para juri.

Selain Edry, antara juri yang terlibat ialah Ellie Suriaty, Mas Idayu dan Cikgu Shahrol.

Siapakah yang akan terpilih sebagai pelajar AF2015 nanti dan apakah kejutan yang bakal diterima?

Siapa pula pengetua AF2016?

Sama-sama kita nantikan.

Untuk maklumat lanjut, layari Akademi Fantasia 2016.