Bintang rancangan realiti Big Stage, Aliff Bahran, 20, menegaskan kenyataan berbaur provokasi antara dia dan penyanyi popular Haqiem Rusli sekadar gurauan.

Tiada masalah wujud antara mereka berdua malah mereka masih berkawan rapat dan berhubung antara satu sama lain.

"Tidak ada istilah bergaduh atau saya mengugut produksi sampai tidak mahu masuk program Big Stage kalau ada Haqiem Rusli.

"Itu semua sekadar gurauan ketika rakaman video awal ujibakat bersama produksi Big Stage.

"Saya cakap dalam nada bergurau yang saya kurang yakin dengan diri sendiri kalau ada Haqiem sebab saya tahu keupayaan dan kehebatan dia dalam sesebuah pertandingan.

"Kami berkawan rapat dan masih baik," katanya kepada Gempak.

what’s so funny boys? ?

A post shared by Bahran (@ariffbahran) on



Malam tadi ketika berlangsung konsert pertama Big Stage, juri tetap Faizal Tahir membacakan trivia Ariff Bahran yang enggan memasuki pertandingan sekiranya adanya Haqiem Rusli.

Ekoran itu, Faizal memberikan teguran buat Bahran dan meminta penyanyi yang popular dengan lagu Kata Akhirmu itu mengubah sikap.

Perkara yang dianggap serius itu bagaimanapun membuatkan Bahran serta penonton terdiam.

Pada konsert sulung Big Stage yang berlangsung di Auditorium MBSA Shah Alam, Bahran menjadi peserta pertama yang hampir disingkirkan daripada 9 peserta lain.

Namun, penyanyi itu terselamat dan meneruskan perjuangan pada minggu kedua dengan lagu cover Sejarah Mungkin Berulang (New Boyz) sempena tema Lit Throwback.

Selain Bahran, Big Stage turut disertai oleh Afieq Shazwan, Andi Bernadee, Syafiq Farhain, Baby Shima, Fara Hezel, Sarah Suhairi, Sissy Iman dan Wani Kayrie.

Rancangan yang ditaja oleh Vivo dan ditrendkan oleh Tik Tok ini akan disiarkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria(104) dan Ria HD (123).

Layari laman web www.bigstage.com.my untuk segala informasi mengenai program ini!

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @ariffbahran