Mahkamah Majistret Petaling Jaya menetapkan lima hari bermula 27 November depan untuk perbicaraan kes pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari yang menghadapi lima pertuduhan termasuk mendatangkan kecederaan dan berkelakuan tidak senonoh.

Majistret Nor Ariffin Hisham juga menetapkan 6 Disember dan 12 hingga 14 Disember depan untuk perbicaraan kes itu dan 27 Ogos ditetapkan untuk sebutan semula kes itu.

Terdahulu, peguam Faizul Mohd Nasir yang mewakili Farid Kamil memohon mahkamah menetapkan tarikh akhir untuk sebutan sebelum pihaknya menghantar wakil ke Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji semula kesemua pertuduhan ke atas anak guamnya.

Bagaimanapun, Nor Ariffin berkata mahkamah perlu menetapkan tarikh perbicaraan pada hari ini juga supaya kes berkenaan dapat diteruskan dan tidak tertangguh lagi.

"Mahkamah telah memantau kes ini sejak pertama kali didaftarkan pada Januari, namun tiada sebarang perkembangan positif. Malah, tiada sebarang representasi dikemukakan daripada pihak pembelaan walaupun kes ini sudah disebut sebanyak empat kali, iaitu pada 5 Mac, 7 Mei, 29 Jun dan pada hari ini," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil sekurang-kurangnya tujuh saksi.

Pada 16 Januari lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid Kamil didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ashraf Ahmad, 35, tahun seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24 tahun, seorang anggota polis.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid Kamil dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam sebagai seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Muhammad Nizam.

Sembilan hari kemudian, pada 25 Jan, Farid Kamil turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol atau THC.

Sumber: Bernama
Foto: Instagram Farid