Pengarah drama tempatan menyambut baik keputusan yang dibuat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo terhadap pengecualian daripada proses tender terbuka untuk perolehan program di stesen TV kerajaan, RTM.

Dalam laporan media menyatakan pengecualian tersebut membolehkan syarikat produksi tempatan yang sudah menerima surat niat untuk kontrak di stesen itu meneruskan projek penerbitan mereka.

Gobind menyatakan isu berkenaan timbul apabila wujud arahan perlaksanaan tender terbuka untuk semua projek kerajaan yang dilaksanakan.

"Bagaimanapun, saya dapat tahu daripada artis-artis khususnya syarikat produksi tempatan yang menyatakan bahawa konsep atau sistem itu tidak boleh terpakai kepada syarikat produksi," katanya seperti mana dipetik menerusi Bernama, semalam.

Pengarah drama berpengalaman, Ahmad Hashim menyatakan keputusan tersebut memberikan berita gembira kepada golongan pengarah khususnya yang terbabit dalam projek penerbitan drama.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih pada Gobind di atas keprihatinan beliau dalam menyelesaikan isu ini.

"Sebagai pengarah, saya amat berbesar hati dengan kenyataan beliau itu dan ini juga memberikan berita baik pada rakan pengarah lain termasuk produser dan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM)," katanya.

Sebelum ini, sejak pertukaran kerajaan persekutuan penggiat seni terdiri daripada pengarah dan produser termasuk kru produksi resah dan bimbang dengan nasib mereka apabila proses tender terbuka untuk perolehan program di stesen TV kerajaan itu dicadangkan.

Namun, penggiat seni menarik nafas lega dengan keputuan yang dibuat Gobind baru-baru ini dan berharap peluang ini dapat digunakan sebaik mungkin.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @madjohnfdam