Pengacara terkenal dan juga ahli Running Man, Yoo Jae Suk akui rindu untuk menghabiskan masa bersama anaknya.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Jae Suk menerusi episod Running Man yang disiarkan baru-baru ini.

Menurut Yoo Jae Suk, disebabkan jadual kerjayanya yang padat dia tidak dapat memberikan tumpuan penuh terhadap anak, Yoo Ji Ho.

“Perkara yang saya ingin sangat lakukan adalah menghabiskan masa bersama anak tapi disebabkan terlalu sibuk, saya terpaksa lupakan hasrat tersebut.

“Menjadi ibu bapa bukanlah satu kerja yang mudah, lebih-lebih apabila berhadapan dengan anak-anak yang sedang membesar.

“Saya akui sangat kagum terhadap wanita yang bergelar ibu kerana mereka mampu berhadapan dengan segala kesusahan dan sentiasa berada di sisi anak-anak.

“Sebab itu lepas habis saja penggambaran Running Man, saya akan terus pulang ke rumah untuk bersama anak.

“Saya mahu menghabiskan masa sebanyak mungkin bersama dia supaya dia tidak terasa sunyi,” katanya.

Dalam pada itu, Yoo Jae Suk memberitahu isterinya, Na Kyung Eun pernah mengeluahkan rasa kecewa kerana mereka sekeluarga sukar untuk bercuti bersama.

“Sebenarnya sewaktu kami berbual-bual, isteri saya pernah meluahkan rasa kecewa kerana kami sudah lama tidak pergi bercuti.

“Dia tidak marah, cuma luahkan rasa hati kerana saya terlalu sibuk sehingga sukar mencari masa yang sesuai untuk bawa mereka bercuti,” jelasnya.