Filem terbaru aksi lakonan Tom Cruise, Mission: Impossible - Fallout mencipta sejarah tersendiri buat peminatnya apabila dipertontonkan pada paras 2,000 kaki.

Pengalaman mengujakan yang mungkin dianggap kerja gila itu menjadi kenyataan apabila peminat perlu mendaki ke puncak sebuah gunung untuk bersama menyaksikan filem tersebut.

Dalam status terbaru aktor itu di Twitter, @TomCruise menyatakan pada ketinggian 2,000 kaki seramai 2,000 penonton hadir selepas mengambil masa selama 4 jam mendaki.

Jika melihat gambar yang dimuat naik bersama status itu, ia memang menggerunkan bagi peminat yang tidak biasa mendaki gunung.

Bagaimanapun, ia menjadi suatu pengalaman menarik buat peminat yang sukakan cabaran lasak sedemikian.
Filem francais keenam itu diarahkan Christopher McQuarrie buat kali kedua selepas Mission: Impossible - Rogue Nation pada tahun 2015.

Sekuel kali ini berjaya meraih kutipan box-office sebanyak AS$153.5 juta dari seluruh dunia mengatasi rekod kutipan sekuel, Mission: Impossible - Ghost Protocol dengan kutipan AS$131 juta.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Twitter - @TomCruise