Selepas enam tahun Sakura Band ditubuhkan, mereka akhirnya bakal muncul dengan album pertama yang turut menampilkan lagu dalam bahasa Mandarin.

Salah seorang anggotanya, Mell memberitahu mereka teruja dengan kemunculan album sulung ini selepas hanya ada enam single sebelum ini.

Menariknya, mereka bekerjasama dengan label Universal Music Malaysia untuk kontrak selama 2 tahun dalam penerbitan album pertama ini.

"Kami memang teruja untuk buat album pertama ini. Kami ambil peluang ini untuk buat sesuatu seperti mengambil kelas Mandarin untuk mencuba pasaran baru," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, Sakura Band mahu menjadi kumpulan muzik yang dapat menembusi pasaran lagu Mandarin selepas Shila Amzah yang beraksi secara solo.

Bagi rakannya, Haniff pula berpandangan meskipun jualan album kurang memberangsangkan, dia tetap positif dengan album ini sebagai portfolio muzik mereka.

"Lagu kami juga sebelum ini pernah digunakan sebagai lagu tema dalam drama seperti lagu Melepaskanmu dan Polaroid.

"Mungkin kali ini, Universal nak mencuba pasaran berbeza sebab ada lagu Mandarin," katanya.

Jelasnya, album baru yang membawa genre retro moden ini masih dalam proses pemilihan lagu yang sesuai.

Sakura Band juga baru saja menyiapkan muzik video lagu terbaru mereka berjudul Magik.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak