Lagu popular, Hijau sememangnya cukup sinonim dengan vokal Datuk Zainal Abidin sehingga ada peminat marah pada penyanyi terkenal itu sebab tidak menyanyikannya di atas pentas.

Insiden tersebut antara pengalaman menarik yang pernah dilalui beliau ketika membuat persembahan pentas di mana saja.

Ujarnya, peminat lebih gemar menonton persembahan lagu lama yang pernah popular suatu ketika dulu seperti Hijau, Manis dan Suraya.

"Mereka (peminat) datang bukan seratus peratus nak melihat artis di pentas tapi mahu mendengar lagu yang mereka minat. Bagaimana lagu itu dipersembahkan jika tidak dibawa penyanyi asal mahupun orang lain menyanyi lagu itu yang membuat mereka nak datang.

"Kebanyakan mereka minat pada lagu dan bukan orangnya," katanya selepas acara sidang media Majlis Pelancaran Konsert Sayangi Malaysiaku 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.



Menariknya, Zainal antara artis yang sering diundang penganjur untuk mengadakan persembahan sempena ambang Hari Merdeka pada setiap tahun.

"Saya rasa nak buat kelainan tapi belum bersedia kerana peminat masih nak dengar lagu Hijau. Cuma, kali ini saya berasakan ia adalah pentas antarabangsa di mana saya mendengar penggunaan dalam bahasa Mandarin, Inggeris dan Kebangsaan sudah mula diharmonikan.

"Ini suatu petanda baik yang memberi kebebasan pada semua rakyat supaya mereka dapat meluahkan perasaan menerusi muzik dan seni," katanya.

Sebagai artis senior, beliau sudah biasa berkongsi pentas dengan penyanyi muda meskipun diminta menyanyikan lagu-lagu lamanya.

"Bosan itu tidak kerana setiap kali naik ke pentas, ia adalah pentas baru dan penonton baru cuma lagu yang sama.

"Lagu Hijau pasti kerana apabila tidak dinyanyikan, penonton marah. Begitu juga ketika saya terlepas menyanyikan lagu Suraya, peminat marah sebab mereka datang nak dengar lagu itu," katanya.

Zainal antara 23 artis tempatan pelbagai bangsa yang mengambil bahagian dalam persembahan konsert kali ini.

Konsert tersebut yang dianjurkan Union Works Asia bakal diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos nanti bermula jam 9 malam.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak