Penggiat industri perfileman masih mengharapkan bantuan kerajaan agar terus menerbitkan filem selain mencari peluang kerjasama startegik dengan pelabur dalam dan luar negara.

Bekas Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Syed Mohamed Benyahya berkata, pihak kerajaan mesti memberi bantuan ini dan tidak boleh berhenti kerana ia juga menyumbang pada ekonomi negara.

"Produser perlu bersikap positif walaupun pelbagai rintangan dihadapi. Sama ada dapat bantuan kerajaan atau pihak mana sekalipun, kita kena menuju matlamat membuat filem," katanya menerusi program Kopi Kaw FDAM anjuran Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) baru-baru ini.

Akuinya, produser yang bergerak secara berkumpulan lebih agresif menerusi kerjasama dengan individu atau syarikat pelabur.

Setiausaha Kehormat, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris pula berpandangan produser filem lebih terkesan dibandingkan produser drama TV jika tidak lagi mendapatkan dana kerajaan.

"Apa yang berlaku sekarang ini, setiap aktiviti penerbitan berkaitan dengan dasar dan polisi kerajaan. Apabila tiada dana, industri berubah dan merundum," katanya.

Ujarnya, mengambil contoh kerajaan Korea terus memberikan dana pada produser filem mereka yang memberi impak positif pada industri perfileman di sana.

"FINAS sedah keluarkan lebih 1,500 lesen pengeluaran filem tapi tidak semua yang aktif kerana bergantung pada projek kerajaan seperti di stesen TV.

"Sebelum ini, FINAS tetapkan 1 filem untuk 1 minggu tetapi dari dulu sehingga sekarang kayu pengukur pada syarikat yang berjaya yang mendapat kutipan box-office iaitu Skop Production.

"Daripada situ, kerajaan harus memberi pertimbangan sewajarnya agar terus memberi bantuan pada produser filem kerana produser juga adalah majikan pada pengarah, kru dan pelakon," katanya.

Sementara itu, program Kopi Kaw FDAM yang pertama kali bersiaran langsung menerusi platform Facebook akan diteruskan pada setiap minggu, Ahad selama sejam membincangkan pelbagai isu industri filem dalam dan luar negara.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook - FDAM