Penyampai radio Era, Jaa Suzuran mengakui bersedia untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang komedi selepas tersingkir pada minggu kedua Super Spontan Xtravaganza (SSX).

Menurut Jaa, sebagai seorang yang baru dalam industri, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk menyertai program SSX.

"Alhamdulillah saya sudah melakukan yang terbaik pada minggu kedua ini namun nasib tidak menyebelahi saya kerana menang atau kalah adalah adat permainan.

"Namun perkara ini tidak akan membuatkan saya putus asa untuk mengembangkan bakat yang ada pada bidang komedi.

"Saya akan datang balik dan memperbaiki mutu persembahan serta berjinak-jinak dengan program komedi selepas ini.

"Selepas ini saya mahu ketengahkan komedi dalam video-video yang dihasilkan dan dengan cara itu mungkin saya dapat mengasah bakat dalam bidang ini," katanya kepada Astro Gempak.

Minggu kedua SSX menyaksikan Jaa Suzuran dari kumpulan Lobster Leleh telah disingkirkan.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan 'tukang masak', SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej 'tukang masak jalanan' dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej 'tukang masak di hotel'.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri tempatan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram Jaa