Pelakon Remy Ishak atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak, 36, kembali bergandingan bersama penyanyi Datin Alyah.

Pernah mencipta fenomena menerusi muzik video lagu Kisah Hati, Remy muncul sekali lagi dalam muzik video lagu terbaru Alyah yang berjudul Jutaan Purnama.

Menurut Remy, ketika mendapat tawaran untuk muncul sekali lagi di dalam muzik video Alyah, mereka menghadapi masalah dengan kepadatan jadual.

"Pada mulanya, ketika mendapat tawaran untuk muncul di dalam muzik video Jutaan Purnama, kami menghadapi masalah. Pada ketika itu, saya dihimpit dengan kepadatan jadual saya.

"Tetapi, apabila saya mengenangkan kembali mengenai keinginan Alyah, saya turutkan juga permintaan dia," katanya.

Remy ditemui di majlis pelancaran single terbaru Alyah iaitu Jutaan Purnama di Keriang Hill, Alor Setar baru-baru ini.

Ketika ditanya adakah dia menerima tawaran ini disebabkan bayaran besar, Remy membidas dakwaan tersebut.

"Secara jujurnya, sebelum ini, saya ada juga menerima beberapa tawaran untuk terlibat dalam muzik video tetapi saya tidak berminat.

"Tetapi, apabila dengan Alyah, saya terbuka hati untuk terima. Sangat mudah untuk saya bekerja dengan Alyah kerana keserasian itu wujud.

"Saya tahu dan percaya dengan kemampuan Alyah untuk membawa sesebuah lagu. Saya percaya, hari ini saya tolong orang, hari lain orang akan tolong saya pula," katanya kepada Gempak.


Teks: Noor Zulaikha Yusof