Penyanyi Datin Alyah mendedahkan dirinya kurang mendapat jemputan daripada stesen televisyen semenjak awal tahun ini.

Menurut Alyah yang hampir 18 tahun bergelumang dalam industri seni, dia tidak tahu sebab mengapa dirinya tidak lagi mendapat jemputan untuk menjayakan program televisyen.

"Selama saya mendapat jemputan, saya tidak pernah tak datang atau melakukan perkara yang kurang menyenangkan pihak stesen televisyen.

"Saya bukan seorang yang berfikiran negatif. Bagi saya, ini mungkin peluang untuk penyanyi baru muncul di kaca televisyen," kata isteri pengarah muzik tersohor Datuk Ramli MS ini.

Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hasan ditemui di majlis pelancaran single terbarunya iaitu Jutaan Purnama di Keriang Hill, Alor Setar, hari ini.


Tambah penyanyi lagu Kisah Hati ini, jika dahulu, mungkin dia akan mempersoalkan situasi tersebut.

"Kalau ia terjadi dahulu, mungkin saya akan mempersoalkan kepada stesen televisyen kenapa mereka tidak menjemput saya.

"Tetapi setelah banyak benda yang saya lalui, ini adalah masa yang terbaik untuk saya memperbaiki diri.

"Secara jujurnya, saya pernah terasa hati, tetapi sebagai manusia biasa tetapi saya percaya pada rezeki Allah," katanya kepada Gempak.

Teks: Noor Zulaikha Yusof