Berita pertunangan pasangan pelakon Amyra Rosli, 25, bersama Amar Baharin, 31, disambut gembira oleh peminat mereka.

Sehingga kini ruangan komen di Instagram Amyra dan Amar dipenuhi ucapan tahniah yang mendoakan kebahagian mereka berdua.

Tidak kurang juga yang meluahkan rasa gembira kerana hubungan cinta Amyra dan Amar bukan setakat dalam drama lakonan mereka tetapi akhirnya menjadi kenyataan.

Peminat juga menyatakan rasa tidak sabar untuk melihat pasangan ini ke jinjang pelamin pada 11 November depan.

Majlis pertunangan Amyra dan Amar telah diadakan secara tertutup pada petang Jumaat, bertempat di Sunway Montana, Desa Melawati, Kuala Lumpur.

Pada majlis tersebut, Amar telah menyerahkan lima dulang hantaran termasuk cincin dan dibalas tujuh oleh pihak perempuan.

Majlis resepsi pihak lelaki akan diadakan pada 19 November depan.

Di sini Astro Gempak kongsikan foto-foto menarik majlis pertunangan mereka yang diambil menerusi hashtag #AmyrAmar dan #AmarAmyraEngagementDay.