Siapa sangka pemain gitar terkenal, Shah Slam rupanya mempunyai bakat terpendam sebagai pemain bola sepak yang hebat sehingga berjaya meraih anugerah Pemain Terbaik.

Shah yang bermain di posisi tengah sebelum ini sudah banyak kali mengasah bakat dalam perlawanan bola sepak ketika mempunyai masa terluang.

Bagaimanapun, Shah sebenarnya sering bermain dengan rakan artis lain dalam pelbagai perlawanan persahabatan.

Terbaru, Shah mencuri tumpuan khalayak apabila berjaya menjaringkan 3 gol buat pasukan Mawi World Entertainment ketika menentang Fazil Group dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Hang Tuah, Melaka pada Sabtu lalu.



Mawi selaku pengurus pasukan menyatakan 3 gol jaringan daripada Shah sangat bermakna dalam membantu pasukannya yang ketinggalan 3 gol pada separuh masa pertama.

"Ini adalah aktiviti tahunan kali ketiga selepas badminton dan bowling sebelum ini bersama Fazil Group.

"Saya bertanggungjawab dalam mengumpul rakan artis lain untuk turut serta dalam acara riadah sebegini," katanya kepada Astro Gempak.



Mawi yang juga Duta Fazil Group memberitahu pasukannya bangkit pada separuh masa kedua termasuk menang dengan keputusan 5-4 menerusi jaringan tambahan daripada penyampai Zayan, Falyq Hikyle manakala Jep Sepahtu menjaringkan gol kemenangan terakhir.

"Selain itu, pasukan Mawi World Entertainment juga diperkuatkan dengan kehadiran Raqib Majid, Zahid dan Roy Azman serta Anas Tahir juga hadir memberikan sokongan.

"Walaupun perlawanan ini sekadar 'friendly' tapi kami semua bersungguh-sungguh main apatah lagi pasukan lawan dibarisi pemain muda yang lebih bertenaga," katanya.

Akui Mawi, perlawanan julung kali ini juga berjaya menarik perhatian ramai penonton yang hadir yang diadakan sebagai usaha merapatkan ukhwah antara satu sama lain selain melakukan aktiviti kecergasan yang sihat.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Mawi