Pelakon dan penyanyi Kaka Azraff mengakui belum mempunyai kekasih dan lebih selesa menjalani kehidupannya sekarang.

Kaka, 29, berkata, dia kini hanya mahu memberi tumpuan kepada kerjaya seni.

Akui penyanyi lagu Bukan Hal Aku ini, dia turut ditanya bilakah dirinya ingin menamatkan zaman bujang.

"Saya meletakkan umur 30 tahun sebagai target untuk mendirikan rumah tangga dan bergelar isteri tetapi saya percaya, jodoh pertemuan semuanya terletak di tangan Tuhan.

"Sejauh mana kita berharap dan meletakkan sasaran, jika belum tiba masa yang sesuai, maka ia tidak akan terlaksana mengikut perancangan," katanya.

Pelakon filem Alif Dalam 7 Dimensi ini juga mengakui dia turut terkesan apabila melihat teman-teman rapat sudah mendirikan rumah tangga.

"Tipulah jika saya langsung tak terkesan apabila melihat rakan-rakan sudah berkahwin. Saya akui sebelum ini saya ada berkenalan dengan seseorang, tetapi hanya sekadar berkawan.

"Buat masa ini saya tak nampak mana-mana jejaka yang ingin membawa hubungan ke peringkat lebih serius. Jadi, saya mahu fokus kepada kerjaya sebagai penyanyi," katanya kepada Gempak.

Kaka ditemui ketika sesi temu ramah bersama media di Warner Music, Mutiara Damansara, hari ini.

Kaka melancarkan lagu terbaru berjudul Sibuk yang turut menampilkan rapper Alif.


Teks: Noor Zulaikha Yusof