Pelakon Amar Baharin tiada masalah untuk bergandingan dengan isterinya, aktres Amyra Rosli dalam drama bersiri atau filem.

"Sekiranya kami ditawarkan untuk berlakon bersama-sama di dalam drama atau filem, kami berdua akan menerimanya.

"Saya tiada masalah untuk bergandingan dengan Amyra cuma kami lebih berhati-hati.

"Kami terpaksa fikirkan dahulu sebelum menerima kerana takut ada kaitan dengan hukum-hakam agama yang boleh memberi kesan pada perkahwinan kami," kata Amar.

Amar dan Amyra ditemui di majlis rumah terbuka mereka di 9Kedondong baru-baru ini.

Tambah Amar, jika penulis skrip dan penerbit boleh memahami serta tidak ada adegan yang melanggar hukum sebagai suami isteri, mereka tiada masalah untuk berlakon bersama.

"Apa-apa pun kami akan teliti skrip dan bincang dulu tawaran yang ditawarkan sebelum terima. Kami tak mahu bila dah sampai masa, kami tak boleh nak buat. Tak baiklah untuk penerbit dan penulis skrip.

"Jadi, jika skrip atau ada adegan yang melanggar batas-batas yang ditetapkan, biarlah saya dengan Amyra tarik diri dan berlakon berasingan supaya tidak menyusahkan pihak-pihak lain di masa akan datang," katanya kepada Gempak.

Pasangan ini telah diijabkabulkan pada 11 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Aqeef Anaqi.


Teks: Noor Zulaikha Yusof