Penyanyi Yuna tampil menjelaskan situasi sebenar setelah dikritik menggunakan khidmat wedding registry untuk tetamu di majlis perkahwinannya baru-baru ini.

Jelas Yuna, dia masih menggunakan jemputan cara lama bagi saudara mara yang lebih tua.

"Please use your common sense. Sudah tentu ia bukan tradisi untuk pak cik atau mak cik untuk rsvp dan beli hadiah daripada wedding registry.

"Ia untuk kawan-kawan kami yang celik teknologi! Selebihnya kami masih menghantar jemputan dengan cara tradisional dan menerima hadiah daripada tetamu seperti biasa," tulis Yuna menerusi Twitternya.

'Wedding Registry' merupakan satu cara yang selalu digunakan di luar negara bagi memudahkan tetamu mencari hadiah perkahwinan yang diperlukan pengantin.

Sebelum itu, Yuna dalam satu entri di Instagramnya memberitahu bagaimana dia merahsiakan cara balas jemputan (RSVP) perkahwinannya secara atas talian dan membuat senarai barangan keperluan rumah bagi pilihan tetamu jemputan.

Bagaimanapun caranya itu, dikritik apabila dikatakan ia tidak sesuai dengan masyarakat timur yang lebih suka bersemuka membuat jemputan dan boleh menyusahkan tetamu yang lebih tua untuk menggunakan teknologi terkini.

Tidak cepat melatah, Yuna segera menerangkan bahawa kaedah wedding registry dan rsvp yang digunakan adalah hanya untuk rakan-rakan rapatnya.

Yuna memberitahu dia dan suaminya, Adam Sinclair masih menerima hadiah seperti pinggan mangkuk, tuala mandi dan sebagainya daripada keluarga dan kenalan yang tidak menggunakan khidmat wedding registry.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Twitter
Foto: @yunamusic