Bekas juara Akademi Fantasia musim ke-8, Shahir Zawawi seakan memberi bayangan untuk mengakhiri hubungannya dengan aktres Erra Fazira di jenjang pelamin.

"Dengan izin Allah, jika ada rezeki segalanya bakal berlaku tahun ini, maka tahun inilah ia akan terjadi. Tetapi, tarikh spesifik itu saya belum tahu lagi.

"Semuanya terpulang kepada rezeki. Saya mahu terus bernikah, tidak mahu bertunang. Sudah ada perancangan menuju perkara tersebut, sampai masa yang sesuai akan saya beritahu kepada semua," kata Shahir.

Shahir ditemui di majlis kenduri durian anjuran restoran Teh Tarik Place cawangan Setapak Central baru-baru ini.



Hadir sama ialah Tomok, Black dan Fahrulrazi Kassim, Pengarah Cuisine Inspire Sdn Bhd yang merupakan pemilik Teh Tarik Place cawangan Setapak Central.

Tambah Shahir, hubungan antara dirinya dan Erra memang diketahui keluarga kedua pihak dan turut mendapat restu.

"Segalanya berjalan lancar. Keluarga tahu mengenai hubungan yang terjalin dan mereka memberikan dorongan serta mendoakan yang terbaik.

"Hubungan saya dan Engku Aleesya juga baik-baik sahaja. Saya sudah bersedia untuk menggalas tugas sebagai suami dan bapa," katanya lagi.

Teks: Kamaruddin Razal