Pelakon Soffi Jikan dan Aprena Manrose bakal membintangi filem komedi seram, Jodoh Syaitan terbitan sulung DA Motion Media.

Penerbitnya, Mokharul Shamsul Mokhtar atau Asey ketika ditemui di LakePark Residence, Kuala Lumpur memberitahu syarikatnya memilih filem genre komedi seram kerana pilihan penonton.

"Berdasarkan sambutan yang diterima, ternyata kebanyakan penerbit sekarang ini lebih tertarik untuk menghasilkan filem seram.

"Penglibatan saya dalam industri perfileman bukan sehari dua, sudah lama. Jadi sudah tiba masanya, untuk saya menerbitkan filem sendiri.

"Kalau diikutkan pasaran filem di negara ini tidak menentu, tetapi ia bukan halangan buat saya untuk menghasilkan filem Jodoh Syaitan.

"Lagipun dengan cara ini juga saya dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakan-rakan kru dalam industri," katanya kepada Gempak.

Penggambaran filem Jodoh Syaitan akan bermula pada 18 Julai 2018 di Pasir Puteh, Kelantan dan Jertih, Terengganu.

Filem komedi seram ini turut dibintangi oleh Abam Bocey, Jay Iswazir, Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi serta Ismail Bob Hashim selaku pengarah.


Teks: Noor Zulaikha Yusof