Penyanyi berbakat besar Aizat Amdan mengingatkan dirinya dan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya mempermainkan isu berkaitan kemurungan (depresi).

Pesan Aizat, orang ramai sepatutnya mengambil tahu konteks dan situasi sebenar pesakit yang menghidap kemurungan sebelum membuat sebarang kesimpulan.

"Depresi sesuatu yang sangat serius dan tak boleh buat main. Tetapi saya melihat daripada sudut positif apabila isu ini timbul, ramai yang mulai ambil berat dan belajar tentang penyakit tersebut.

"Bagi saya, mungkin seseorang yang mendakwa dirinya mengalami depresi tidak begitu faham pun makna sebenar depresi itu.

"Mungkin individu atau artis itu mengambil peluang dengan situasi semasa yang berlaku di peringkat global dan memperbesarkan isu ini

"Saya risau keadaan dan persekitaran sekeliling pula yang akan menjadikan individu itu murung," kata Aizat ketika ditemui pada majlis pelancaran single Harapan Jadi Nyata baru-baru ini.

Aizat yang terbabit dengan gerakan 1Moment4Them terbabit dalam misi kemanusiaan untuk meningkatkan kesedaran penyakit mental dalam kalangan masyarakat dengan berjumpa sendiri dengan pesakit mental di beberapa buah hospital sejak Ramadan lalu.

Jelas Aizat, pendekatan terbaik untuk membantu individu yang berdepan masalah depresi adalah mendekati mereka.

"Dekati mereka (pesakit) dan bercakap, itu bantuan paling wajar bagi membantu individu yang mengalami depresi.

"Selain itu, biasanya bekas pesakit mental sahaja yang akan tahu perasaan dan situasi seseorang yang berdepan masalah serupa.

"Jadi, bantulah mereka sebelum terlambat," tambahnya.

Sebelum ini kecoh apabila seorang penyanyi lelaki muda mendedahkan dia mengalami depresi (kemurungan) hingga merisikokan kerjayanya.

Bagaimanapun, pendedahan itu disifatkan netizen sebahagian daripada gimik untuk melancarkan lagu baharunya.

Lebih teruk apabila 'gimik' depresi itu mempergunakan beberapa selebriti lain hingga mencetuskan kemarahan.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @aizatamdan