Filem Dukun Doktor Dani terbitan Astro Shaw telah mula ditayangkan bermula 28 Julai 2016.

Menjalani penggambaran di sebuah pekan yang terletak di Nenasi, Pahang, filem ini membariskan pelakon seperti Taufik Batisah, Fasha Sandha, Amerul Affendi, Yus Jambu, Raysha Rizrose dan ramai lagi.

Astro Gempak senaraikan empat untuk anda wajib menonton filem Dukun Doktor Dani di pawagam berhampiran:

1. Filem pertama arahan Sabri Yunus

Filem Dukun Doktor Dani merupakan filem pertama arahan pengarah tersohor Sabri Yunus. Jika sebelum ini Sabri menunjukkan kecemerlangannya dalam bidang pengarahan menerusi telefilem Sanggul Beracun, Parut Ashikin, Pengkalan Batu 6 dan banyak kali, anda pastinya tidak boleh melepaskan peluang untuk menyaksikan buah tangan Sabri yang pertama di layar perak.

2. Lakonan pertama penyanyi Taufik Batisah di layar perak.

Jika sebelum ini Taufik Batisah lebih dikenali menerusi lagu-lagu hit seperti Usah Lepaskan, Menakluk Cinta dan Awak Kat Mane, filem Dukun Doktor Dani menyaksikan debut Taufik dalam bidang perfileman.

Memegang watak seorang doktor yang bernama Dani, kemunculan Taufik di layar perak sudah semestinya harus ditonton oleh semua peminatnya di luar sana. Menariknya, Sabri tertarik dan memilih Taufik untuk menggalas watak utama selepas melihat karisma Taufik dalam memberikan komentar sewaktu bergelar juri program Maharaja Lawak Mega 2014 yang lalu.

3. Debut pemenang Dewi Remaja 2015, Raysha Rizrose dalam bidang lakonan.

Pemenang Dewi Remaja 2015, Raysha Rizrose turut membuat penampilan sulungnya dalam bidang lakonan menerusi filem ini.

Menariknya, adik kepada Uqasha dan Nelydia Senrose ini dipilih untuk membintangi filem ini ketika dia menghadiri sebuah sesi ujibakat yang dijalankan oleh Astro Shaw seminggu sebelum dirinya dinobatkan sebagai Dewi Remaja.

4. Lakonan terakhir Yus Jambu di layar perak.

Filem Dukun Doktor Dani juga menjadi filem terakhir lakonan pelawak popular, Allahyarham Yus Jambu di layar perak. Filem ini juga menampilkan kelainan kerana Sabri lari daripada kebiasaan dengan memberikan Yus watak serius.

Menjadi seorang pelakon yang baik, Yus berjaya membawakan karakter yang diberikan dengan cemerlang.