Pelakon kanak-kanak, Puteri Balqis Azizi, disahkan menghidap kanser dan masih menerima rawatan di hospital.

Menerusi laporan Berita Harian, Ibu Balqis ketika dihubungi mengesahkan anaknya menghidap kanser, tetapi tidak menyatakan secara terperinci jenis barah yang menyerang anaknya itu.

"Saya minta maaf, buat masa ini saya tak mahu membuat sebarang temu bual. Demamnya masih tak berhenti. Jantung dan paru-parunya mempunyai masalah.

"Apa pun dia semakin kuat," katanya.

Baru-baru ini keadaan kesihatan Balqis kembali menimbulkan pertanyaan ramai apabila perkongsian di Instagram peribadinya menunjukkan dia sedang menjalani rawatan bersama tanda pagar #fightcancer.

Status yang dimuat naik, menerusi akaun @rockingbalqis itu memaparkan gambar pelakon kanak-kanak berkenaan memakai topeng mulut dalam keadaan ceria berserta keterangan menyatakan dirinya sudah menjalani rawatan.

Namun tanda pagar #fightcancer seakan-akan memberi bayangan mengenai penyakit sebenar Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Televisyen Asia ke-19 (2014) itu walaupun sebelum ini dia dikatakan menghadapi masalah jantung.

Sumber: Berita Harian