Penyanyi Akim Ahmad mengakui ada cara tersendiri dalam menjaga dua orang anaknya yang kian membesar.

Menurut Akim, dia dan isteri, Stacy sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan keselamatan anak-anak mereka ketika berada di rumah.

"Sejujurnya saya memang tidak percaya untuk hantar anak pada pengasuh tanpa pantauan daripada pihak saya ataupun Stacy.

"Mungkin setiap orang ada cara tersendiri untuk menjaga anak namun bagi saya walaupun ada pembantu rumah namun kami masih memantau anak setiap kali keluar rumah.

"Saya dan Stacy mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan orang yang rapat dan percaya seperti saudara mara untuk berada di rumah bagi memantau apa yang berlaku jika kami keluar bekerja.

"Bukan tidak percaya tapi kami mengambil langkah berjaga-jaga kerana anak ini adalah tanggungjawab kerana perkara itu akan menyenangkan hati kami ketika melakukan kerja diluar.

"Mungkin apa yang dilakukan kami boleh dijadikan contoh pada orang lain di luar sana kerana kami tidak mahu menyesal dikemudian hari," katanya kepada Astro Gempak.

Akim berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan barisan pelumba Toyota Gazoo musim kedua di APW Bangsar, pada Rabu.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram