Pelawak Along Cham menolak dakwaan menghalau isterinya Zila Seeron keluar dari rumah mereka.

Sebaliknya kata Along, Zila atau Nur Azilah Seeron, 27, sendiri keluar dari rumah tanpa pengetahuan dan kebenaran darinya.

"Tiada istilah halau, saya tak pernah halau isteri saya tetapi biras (kakak Zila) ambil mereka (isteri dan anak) tanpa sebarang alasan dan pengetahuan saya.

"Sejak mereka keluar dan ambil anak, saya dapat tahu mereka tinggal di kampung isteri di Felda Lui, Negeri Sembilan. Tetapi saya pelik kerana anak langsung tidak menghubungi saya selepas itu," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Along, dia telah cuba untuk memujuk dan merayu Zila untuk pulang ke rumah bersama, namun rayuannya ditolak oleh isterinya itu.

"Saya pergi ke rumah mertua di Lui untuk memperbetulkan keadaan. Saya juga turut merayu kepadanya untuk pulang ke rumah dan sama-sama berubah untuk kebaikan rumah tangga kami.

"Namun, apa yang saya dapat sebaliknya. Dia dengan egonya dihadapan ibunya (ibu mertua) telah menjatuhkan maruah saya.

"Dia juga memberitahu tidak mahu pulang ke rumah kerana mahu 'release stress' di kampung dan minta saya berikan masa kepadanya.

"Tetapi dia telah berjanji dengan saya dan Danial (anak) supaya mengambilnya pada hujung minggu. Saya pulang ke Johor Bahru dengan berat hati. Niat saya ialah, saya mahu dia meredakan tekanan seperti yang dia minta," jelas Along.

Along atau Muhamad Nizamudin Ahmad, 33, mengakui dia memfailkan nusyuz terhadap Zila selepas mendapat tahu isterinya keluar hampir setiap malam ketika tinggal di kampung, tanpa kebenaran.

"Hairan, bila dia kata tidak faham mengapa saya failkan nusyuz terhadapnya. Sedangkan ketika tinggal di rumah keluarganya di Negeri Sembilan, setiap malam dia keluar bersama kakaknya tanpa izin saya.

"Apabila ditegur, dia 'provoke' saya supaya ceraikan dia menerusi telefon!"

"Danial sendiri pernah bertanya kepadanya bila mama mahu pulang, tetapi dia beritahu anak kami yang dia mungkin tidak akan pulang. Danial terus campak telefon ke atas katil.

"Patut atau tidak seorang ibu cakap begitu kepada anak yang dikandungnya selama sembilan bulan 10 hari? Bila saya tegur, dia melenting dan terus minta cerai.

"Saya mendiamkan diri selama ini kerana saya mahu menjaga aib dan mempertahankan rumah tangga kami yang telah dibina sejak enam tahun lalu," ujarnya.

Bagaimanapun menurut Along, dia terkilan apabila Zila mengungkit tentang hak jagaan anak sedangkan persetujuan bersama telah dibuat di mahkamah.

"Kenyataan dia membuatkan saya nampak kejam dan seolah-olah mahu memisahkan dia dengan anak. Tidak mengapa jika dia mahu burukkan nama saya, tetapi jagalah hati keluarga saya.

"Kenapa selepas berbulan-bulan baru dia beritahu rindukan anak? Ke mana perginya naluri seorang ibu ketika dia 'provoke' saya supaya ceraikan dia menerusi telefon?

"Sekurang-kurangnya disaat orang luar menuduh saya dan keluarga kejam kerana kononnya memisahkan kasih sayang seorang ibu dan anak, merekalah yang menjaga Danial dengan penuh kasih sayang.

"Tiada istilah 'larang jumpa anak' kerana dia tahu di mana rumah ibu saya. Sehingga hari ini dia tidak datang menjenguk Danial walaupun pada Aidilfitri baru-baru ini, sedangkan dia mendakwa terlalu rindukan anaknya.

"Wajar atau tidak seorang ibu memberi alasan tidak menjenguk anak kerana tiada wang?," katanya.

Dalam pada itu Along berkata, dia berterima kasih kepada sahabatnya, Mawi kerana telah mengambil isterinya bekerja di butik mereka, UneQuein.

"Lega hati ini, sekurang-kurangnya saya tahu isteri saya ada di tempat yang betul," katanya.