Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza bakal merakamkan satu lagu duet dengan penyanyi Indonesia terkenal Judika untuk album studionya yang terbaru.

"Insya-Allah, semuanya dalam perancangan dan setakat ini, ianya berjalan lancar. Saya bakal terbang ke Indonesia dan merakamkan lagu duet tersebut bersama Judika," kata Siti kepada Astro Gempak.

Kembali aktif seleps lima bulan berehat, Siti kini giat memilih lagu untuk album studio terbarunya.

"Selepas berehat semenjak Mac lalu, kini saya kembali ke lapangan nyanyian. Saya kini aktif mengumpulkan lagu untuk dipilih dan dimuatkan dalam album terbaru.

"Proses pemilihan pula saya lakukan seperti album sebelum ini. Lagu dipilih terlebih dahulu berdasarkan melodi yang baik, bukan berdasarkan siapa komposer lagu tersebut," katanya yang ditemui di majlis rumah terbuka Sesuci Lebaran anjuran Siti Nurhaliza Production, Simpysiti dan Global Station.

Dalam perkembangan lain, Siti baru sahaja merakamkan sebuah lagu duet khas bersama Faizal Tahir.

Lagu berjudul Cinta Dirgahayu itu bakal menjadi lagu tema bagi drama bersiri terbaru terbitan Global Station yang berjudul Lara Aisyah.

Drama bersiri Lara Aisyah dibarisi oleh Fasha Sandha, Nazim Othman, Dayana Roza dan ramai lagi ini bakal bersiaran di Astro Prima.