Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat jatuh sakit di New Zealand kerana perubahan suhu dan keadaan cuaca di negara tersebut.

Berada di sana untuk menjalani penggambaran filem Pinjamkan Hatiku arahan sutradara Osman Ali, Ayda masih berada dalam keadaan lemah.




"Badan saya masih lemah serta kurang bermaya. Saya mengalami sakit tekak, batuk dan selsema sehingga menyebabkan hidung saya berdarah. Saya berada dalam keadaan tidak sihat semenjak sampai di New Zealand. Mungkin perkara ini terjadi dek kerana perubahan cuaca yang tidak sama dengan Malaysia.

"Cuaca di sini sangat sejuk berbanding di Malaysia. Keadaan saya masih lagi lemah. Saya berharap agar keadaan saya segera sembuh dan dapat meneruskan penggambaran filem ini. Insya-Allah," kata Ayda yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Walaupun cuaca menjadi cabaran utama, pihak produksi tetap bersungguh-sungguh dalam menyudahkan penggambaran filem tersebut.

"Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan berterima kasih kerana pihak produksi menjaga saya dengan baik sekali sepanjang saya tidak sihat.

"Biarpun mereka terkesan dengan perubahan cuaca mendadak, saya harus memuji kesungguhan pihak produksi yang berjaya mendapatkan lokasi yang menarik untuk penggambaran filem ini," katanya lagi.




Dalam pada itu, Ayda yang turut tercalon dalam lima kategori bagi Anugerah Planet Muzik 2016 (APM 2016) menyatakan kegusarannya bersaing bersama artis dari negara lain.

"Alhamdulillah, saya sangat gembira apabila mendapat tahu yang saya tercalon dalam lima kategori untuk APM2016. Namun begitu, saya berada dalam keadaan gementar kerana bersaing dengan artis-artis popular dari negara Indonesia dan Singapura," katanya.

Bakal membuat persembahan di pentas APM 2016, Ayda juga tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menang.

"Bagi saya, kalah atau menang bukan satu kepentingan setiap kali saya tercalon dalam mana-mana anugerah. Sudah tersenarai dalam pencalonan akhir pun menjadi satu kebanggaan buat saya dan saya amat bersyukur. Saya berharap agar saya dapat memberikan yang terbaik buat semua peminat di luar sana," katanya lagi.