Penyanyi dari seberang, Virgoun menyatakan hasratnya untuk memiliki seorang anak lelaki.

Menurut Virgoun, jika dirinya mempunyai anak lelaki sebagai anak yang kedua, dia boleh menjadikan kehadirannya sebagai inspirasi untuk menghasilkan lagu yang seterusnya.

Sebelum ini, single pertama Virgoun yang berjudul Surat Cinta Untuk Starla yang ditulis untuk anak perempuannya mendapat sambutan hangat dan sehingga kini, ia meraih 238 juta tontonan di laman YouTube.

“Jika sebelum ini saya mendedikasikan lagu buat anak perempuan saya, Starla, di masa akan datang, saya amat teringin untuk mempunyai seorang anak lelaki agar dapat saya hasilkan lagu untuknya.

“Penceritaan dalam lagu tersebut akan menjadi sedikit berbeza kerana ia akan lebih menjurus kepada kata-kata seorang bapa terhadap anak lelakinya,” tambah Virgoun.

Penyanyi ini sedang giat mempromosikan single terbarunya yang bertajuk Bukti dan ditemubual ketika sesi temu ramah bersama media di New Media Experience Centre, Menara TM pada Jumaat yang lepas.


Teks : Asraf Aided