Pelakon baru, Nadya Syahera meminta peminat mendoakan kesejahteraannya yang bakal menjalani pembedahan tidak lama lagi.

Nadya atau nama sebenarnya Nadia Syahera Rosli, 22, memberitahu dia perlu menjalani pembedahan secepat mungkin selepas doktor mengesahkan dirinya menghidap bengkak kalenjar (Cyst).

"Setakat ini keadaan saya tak berapa sihat, masih lagi rasa sakit.

"Sekarang ni saya bertahan dengan hanya makan ubat tahan sakit.

"Sepatutnya saya dah kena tahan di wad tapi wad penuh, jadi buat masa ini saya terpaksa ulang alik ke hospital setiap hari.

"Selepas disahkan ada 'cyst', doktor sarankan supaya saya jalani pembedahan secepat mungkin dan saiz 'cyst' saya juga dah sebesar telur burung puyuh.

"Tarikh untuk pembedahan masih lagi belum tahu, saya tengah tunggu panggilan daripada pihak hospital," katanya ketika dihubungi Astro Gempak pada malam Rabu.

Mengulas mengenai penyakit tersebut, Nadya memberitahu dia mula berasa pelik setelah mendapati seperti ada benjolan pada bahagian bawah perutnya.

"Pada mulanya saya hanya rasa tak lalu makan dan rasa sedikit sakit di bahagian perut.

"Namun pada minggu ini kesakitan itu semakin teruk sehingga membuatkan saya terlantar di rumah.

"Selepas itu saya rasa seperti ada sedikit benjol dan semakin lama semakin besar.

"Selepas dibawa ke hospital, doktor sahkan saya ada 'cyst'," jelasnya.

Dalam pada itu, Nadya yang popular menerusi watak Bella dalam drama bersiri tersebut juga meminta peminat mendoakan kesejahteraannya.

"Buat masa ini segala kerja terpaksa saya tangguhkan buat sementara waktu.

"Saya berterima kasih kepada peminat yang risau tentang saya.

"Doakanlah supaya kesihatan saya kembali pulih seperti sediakala dan pembedahan berjalan dengan lancar," ujarnya.