Peminat rock dan metal tempatan bakal menyaksikan dua konsert terbesar, Konsert Rockstar dan Konsert Metal Legend II Cromok menampilkan sistem bunyi setanding konsert antarabangsa seperti pernah dipersembahkan band metal terkenal, Metallica.

Penganjur konsert kali ini menyatakan kedua persembahan ini akan menggunakan teknologi sistem bunyi tercanggih, 5.2 surround yang pertama kali dipersembahkan kepada khalayak pada dua malam itu nanti.

Menariknya, dua speaker Infra Sub Bass digunakan untuk membawa penonton merasai muzik sebenar seperti bunyi dram dari kiri ke kanan.

Difahamkan, kehebatan teknologi baru ini pernah digunakan dalam konsert Metallica sebelum ini.

Bagi memberi kepuasan kepada peminat yang hadir menonton, sistem bunyi ini juga meletakkan speaker di kiri dan kanan termasuk speaker Sub Bass dan tambahan lampu LED dan enam kamera yang berfungsi untuk memfokuskan syot terbaik pada persembahan itu nanti.

Penganjur memaklumkan kedua konsert ini bertujuan untuk mempromosikan Pelancongan Johor dan menjana pendapatan buat artis yang terbabit.

Konsert Rockstar anjuran D Grand Stage Event menampilkan Ratu Rock Negara, Ella bersama kumpulan Prime Domestic pada 7 September depan manakala band metal terunggul, Cromok pula beraksi bersama Sil Khannaz menerusi Konsert Metal Legend II anjuran Dream Stage pada 8 September.

Anggota Prime Domestic, Joe menyatakan perasaan teruja untuk berkongsi pentas dengan Ella dan memberitahu sesuatu kejutan akan berlaku pada malam persembahan mereka nanti.

Bagi Ella, konsert ini dianggap suatu yang luar biasa sambil mengharapkan peminat tidak melepaskan peluang hadir berhibur bersama mereka.

Kedua konsert ini akan berlangsung di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor.

Teks oleh: Elrafaei Sapi