Produser dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri membawa berita gembira buat industri perfileman tempatan menerusi kerjasama dengan produksi Korea untuk pelaburan filem dan drama di negara ini.

Ujarnya, empat agenda utama sudah dirancang ketika berkunjung ke Korea Selatan sebelum ini disusuli kunjungan delegasi produksi di sana yang membuat lawatan ke sini termasuk singgah ke Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) semalam.

"FINAS bersetuju untuk mewujudkan sesi Dialog Filem Malaysia dan Korea sempena Festival Filem Malaysia nanti dan kerjasama ini membuka peluang untuk melakukan produksi bersama antara kedua negara," katanya kepada Astro Gempak.

POTENSI PASARAN DAN KERJASAMA INDUSTRI KREATIF BERSAMA KOREA SELATAN DITEROKA Hulu Kelang, 26 Jun - Di dalam strategi pembangunan industri kreatif melalui jaringan sinergi dua hala bersama rakan strategik antarabangsa, FINAS hari ini berbesar hati menerima kunjungan daripada penggiat seni Korea Selatan ke Ibu Pejabat FINAS bagi sesi lawatan industri yang turut meneroka potensi kerjasama di antara Korea Selatan dan Malaysia. Menerusi jaringan kerjasama yang dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif AIFA Motion Pictures dan AIFA Academy, En. Ahmad Idham Ahmad Nadzri ketika dijemput ke Seoul, Korea bersempena Chunsa Film Festival 2018 yang lalu dan syarikat produksi Korea, OPUS Pictures terus diperkukuhkan melalui program dua hala bersama rakan strategik di Malaysia. OPUS Pictures yang diiktiraf Korean Film Council (Biz Zone) semenjak tahun 2005 telah aktif menerbitkan filem-filem terkenal Korea seperti A Frozen Flower (2008), The Man From Nowhere (2010) dan Snowpiercer (2013) lakonan Chris Evans, Song Kang-ho dan Tilda Swinton ini memilih Malaysia bagi pembangunan bakat dan modal insan, perkongsian kepakaran, pasaran dan pelaburan serta kerjasama produksi. Dipengerusikan YBhg.Dato' Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS yang turut membincangkan potensi pasaran industri kreatif tempatan serta jaringan pemasaran global, perbincangan dua hala ini turut disertai En. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif AIFA Motion Pictures & AIFA Academy, YBhg. Dato’ Sri Eizlan Yusof, Raja Ilya dan delegasi Korea Selatan yang diketuai Mr. Lee Tae Hun, Ketua Pegawai Eksekutif OPUS Pictures, Mr. Yang Yun Ho, Pengerusi ‘Film Directors Association’ Korea Selatan, karyawan industri Korea Selatan dan pengurusan tertinggi FINAS.

A post shared by FINAS Malaysia (@finasmalaysia) on


Ahmad Idham memberitahu produksi Korea sememangnya menunjukkan minat untuk melabur di sini untuk penerbitan filem mahupun drama selepas ini.

"Korea mempunyai pelabur untuk melabur di sini. Jadi, kita buka peluang untuk mereka melabur di sini sebelum kita pula melakukan pelaburan di sana," katanya.

Jelasnya, agenda keempat yang diberi perhatian adalah aspek pembangunan bakat dari kedua negara. Menariknya, artis Malaysia diberi platform untuk masuk ke pasaran industri hiburan di Korea.

"Ini adalah usaha AIFA Motion Pictures untuk menarik perhatian produksi Korea berkerjasama dengan kita.

"Malah, kami mengajak mereka ke sini untuk melihat sendiri industri seni Malaysia dan ke FINAS untuk kami beritahu cadangan yang sudah dirancang agar FINAS turut serta memberi sokongan," katanya.

Ahmad Idham menyatakan produksi Korea menyedari komuniti mereka seramai hampir 30,000 berada di negara ini dan tertarik dengan insentif Insentif Galakan Penggambaran (FIMI) yang ditawarkan FINAS untuk penerbitan filem antarabangsa dan domestik di sini.

"Mereka melihat Malaysia sebagai pasaran kedua selepas China untuk pelaburan di negara ini," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @rajailya